Tuesday, September 14, 2021

TIPS SURAH APA YANG TERBAIK UNTUK DIBACA SEWAKTU MENGANDUNG? INI YANG SAYA AMALKAN.

  بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Sewaktu saya baru habis berpantang Fateh Purnama di usia beliau 2 bulan.

Sewaktu saya mendapat kepastian dari doktor yang saya mengandung anak pertama waktu itu, gembira tidak terkata. Namun, pelbagai perasan dan perkara yang saya fikirkan termasuklah bagaimana nak mula untuk checkup anak, bagaimana nak sambung belajar sambil atasi masalah pregnancy sickness dan lain-lain.  

Mula lah mode google saya dihidupkan untuk saya mencari mana-mana artikel atau perkongsian untuk saya rujuk dan baca. Itu adalah sifat semulajadi saya di mana saya akan membaca dahulu dan membuat kajian atas apa yang saya ingin tahu. Sejurus selepas itu, baru saya berjumpa dengan mereka yang berpengalaman untuk bertanyakan lebih lanjut tentang pendapat mereka.

Antara yang saya cari di laman sesawang adalah surah apa yang terbaik untuk saya amalkan sewaktu saya mengandung. Dari satu artikel ke artikel yang lain, satu perkongsian ke perkongsian yang lain, saya lompat dari satu muka ke muka yang lain. Semuanya menyenaraikan beberapa surah yang terkenal untuk dibaca antaranya adalah Surah Maryam, Surah Luqman, Surah Yusuf dan berbagai lagi. 

Waktu itu, berbunga hati saya dan bersemangat untuk mengaji selama 9 bulan dengan harapan anak di dalam kandungan mendengar suara bondanya dan sambil itu dapat mendoakan yang terbaik buat mereka.

Sejujurnya, surah yang saya amalkan sewaktu mengandung untuk anak yang pertama dan kedua berbeza. Mungkin kerana waktu anak pertama, semuanya masih baru buat saya dan saya agak kekok dan hanya mengikut apa yang disarankan. Manakala sewaktu anak kedua, saya lebih tenang dan membuat persediaan sendiri tentang apa yang saya mahukan mengikut kemampuan saya.

Surah Amalan untuk Anak Pertama
Untuk anak pertama, saya mengikut bulat-bulat perkongsian yang saya dapat. Surah-surah seperti Surah Yusuf, Surah Maryam, Surah Luqman dan beberapa surah yang lain semua saya baca dan saya ulang baca sehingga saya bersalin.

Sambil saya baca, sambil saya usap perut sambil saya mendoakan anak saya mendapat keberkatan surah tersebut. Contoh untuk Surah Yusuf, saya membaca sambil saya mendoakan anak saya sempurna fizikalnya, cantik kejadiannya, mempunyai akhlak dan kecerdikan seperti Nabi Yusuf dan sebagainya. Sama juga seperti surah yang lain. 

Sewaktu surah-surah tersebut dibacakan, dapat dirasa anak di dalam kandungan bergerak, kadang menendang seolah dapaat merasakan bondanya sedang berbicara dengannya. 

Surah Amalan untuk Anak Kedua
Untuk anak kedua, lain pula ceritanya. Kali ini saya memutuskan untuk tidak membaca surah-surah tertentu sahaja sepanjang mengandung 9 bulan. Saya membuat keputusan waktu itu untuk khatam Al-Quran dari mula sampai akhir. Saya juga lebih fokus untuk istiqamah dalam menulis doa untuk anak-anak saya. 

Sayangnya saya tidak dapat khatam bacaan Al-Quran saya, namun begitu saya dapat membaca surah-surah lazim yang saya amalkan sewaktu anak pertama. Syukur untuk itu. 

Namun begitu, saya yakin dan percaya, apa jua surah yang kita bacakan sewaktu mengandung, fadhilatnya besar apatah lagi datang dari seorang ibu yang mendoakan untuk anaknya supaya sihat dan membesar dengan baik. Setiap surah ada kelebihannya dan jika disertakan dengan doa dan harapan yang penuh kepada Allah S.W.T, inshaaAllah anak kita di dalam jagaan yang baik. 

Proses mengandung adalah satu proses yang sangat intim dan hubungan ibu dan anak telah terbina sejak awal lagi. 9 bulan kedengaran seperti lama tetapi percayalah ianya akan berlalu sekejap sahaja. Rancanglah bukan sahaja tentang keperluan anak apabila sudah bersalin nanti, tetapi rancang juga untuk kerohanian buat si ibu dan si anak sewaktu anak di dalam kandungan. 

Semoga anak-anak kita membesar seperti apa yang kita doakan. Aameen Allahumma Aameen.

Terima kasih sudi meluangkan masa anda untuk membaca. InshaaAllah kita jumpa di perkongsian seterusnya!

Sayang selalu,
AliahMazli

No comments:

Post a Comment