Tuesday, July 30, 2013

SINGGAHAN RASA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

by AliahMazli
Ada satu ketika--

rasa gementar dalam dada,
persis ombak memukul pantai,
yang tiada hentinya.

Terasa hina--
apa cerita bila di ambang sakaratul maut nanti?
apa nasib diri?
apa yang bakal dilalui waktu itu?

Semua itu hanya Allah sahaja yang tahu--
Dia Maha Mengetahui.

Amalan aku--
entah diterima entah tidak,
entah dilihat catatannya entah tidak.

Dosa aku--
entah diampunkan entah tidak,
mungkin masih tinggi menggunung.

Usaha lagi.
Taubat jangan henti.
Amal terusan sampai mati.

Nukilan: Aliah Athirah Mazli
Julai 2013.

Doa

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

by AliahMazli
Doa itu--

senjata kau dan aku,
teguhnya ia,
pabila dibaca.

Doa itu--
penghubung antara kau dan aku,
jauh beribu batu,
rentasi apa jua lautan.

Doa itu--
jambatan mahabbatullah,
tautan rasa rindu padaNya,
demi meluahkan--
yang terbuku,
dalam kalbu.

(Aliah Athirah Mazli, 30 Julai 2013).

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Tak semua manusia lihat akan kehebatan doa. Andaiannya lambat, tidak didengar dan berbagai macam sangkaan.

Lihat semula diri kita. Tanya soalan pada diri setiap kali rasa diri dipinggir Ilahi.

Sungguh-sungguh kah aku berdoa?
Sungguh-sungguh kah aku usaha?

Maksiat hari ini banyak atau tidak?
Dosa hari ini sudah dimohon taubat atau tidak?
Aurat dijaga dengan sempurna atau tidak?

Lihat diri. Muhasabah kembali.

Ego dengan manusia itu terpulang rasa. Tetapi, ego dengan Allah? Allahu, jangan terbit rasa seperti itu. Hinanya kita, Allah sahaja yang tahu. 

Kembali lah pada Dia yang Satu.
Berdoa lah. 
Letak kan pergantungan penuh hanya pada Allah Yang Esa.

Percaya, Dia Mendengar walau seperlahan mana bicaranya, esaknya, bisiknya dan lintasan hatinya.

Amin kan doanya. Raup tangan ke muka. Berlapang dada. 

Allah dengar segala kata kita. 
Thursday, July 11, 2013

Hijrah Hati Hijrah Diri

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

by AliahMazli
Air mata ditakung penuh.

Dada diusap lembut--
zikir dialun terus.

Jawapan ini--
moga dipandu hati
dengan Dia disisi.

Tuhanku--
ini untukMU.

Nukilan: Aliah Athirah Mazli
Wednesday, July 10, 2013

SALAM RAMADHAN TAHUN 2013

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

By AliahMazli
Baru sahaja hendak mula membaca kalam Allah, ayah keluar dari bilik sambil menyahut


" ayah nak ke masjid! Tarawikh tarawikh! ".

Terus ditutup kalam itu

" Balik nanti sambung ".

Disarung pantas jubah dan kain telekung. Dari tadi terniat hati mahu ke masjid tapi tidak mahu berseorang. Peluang ada terus terkedek sarung stokin dan selipar pinjam yang entah siapa punya. Umi mungkin. Sambil berjalan, ayah berkata 

" sempat ke kita ni? Mesti ramai harini. Akak la nanti takut tak ada tempat, tempat perempuan kecil".

Masjid di kawasan perumahan ini tidak besar mana. Kalau terlalu ramai, mahu dibentang tikar di atas jalan buat muslimat.

Aku hanya berdoa sungguh-sungguh dalam hati

" Ya Allah, permudahkanlah aku untuk solat nanti ".

Tahun lepas aku berhimpit dan dihimpit. Tahun ini aku tidak kisah jika sama situasinya cuma aku harap ada tempat buatku.

Sampai sahaja di masjid aku berdiri di tangga. Penuh. Terdetik hati mahu pulang, tarawikh di rumah sahaja. Cepat hati aku istighfar mohon dipermudahkan. Mencari pantas mana tempat kosong yang boleh aku selitkan diri yang gemuk ini.

Ada seorang makcik menyuruh aku ke ruang hadapan, ada kosong katanya. Aku ke sana. Aku berada di saf yang ke-empat. Ini di ruang luar. Ruang dalam penuh semuanya.

Bila hati kita sungguh-sungguh mahukan sesuatu dengan pergantungan penuh pada Allah, Dia akan bantu. Benar. Dia akan bantu kita. Seperlahan mana doa kita, Dia sentiasa mendengar. Allah Maha Mendengar bukan?

Selesai rakaat ke 8, 10, 12, aku sedar aku makin ke hadapan. Dek lepas seorang seorang keluar untuk pulang buat sekadar yang mampu. Akhir sekali, aku sedar aku berdiri di saf paling hadapan sekali. Sejuk pula tu, terasa tempias pendingin hawa. Allahuakbar. Apa lagi yang mampu aku kata. Dari terasa mahu pulang, hingga berada di barisan paling hadapan sekali. 

Tenang. Permulaan yang harapnya menjadi penyuntik semangat untuk terus berkobar hingga ke akhir waktu.


Salam Ramadhan buat sahabat dan saudara seagamaku sekalian.