Thursday, September 26, 2013

BAIKNYA ALLAH PADA KITA

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

by AliahMazli
Dompet dikeluarkan. Hanya habuk-habuk yang berterbangan. 


" Ya Allah, duit tak ada ni. Macam mana nak balik naik bas ni ".

Kaki melangkah ke mesin duit. Baki tidak mencukupi untuk dikeluarkan.

" Ya Allah, Kau tak izin duit ni keluar untuk aku ye ".

Merenung jauh. 

" Hmm, kaki ada ni. Nikmat juga ni yang KAU bagi. Boleh lah ni balik jalan kaki ".

Dikira-kira jarak dari tempat belajar ke rumah sewa jika menaiki kereta mengambil masa lebih kurang 20 minit. Jika berjalan kaki mengambil masa lebih kurang sejam lebih.

" Tak apa lah. Panas terik sikit. Boleh berjalan melihat alam dengan lebih dekat ".

Sepanjang perjalanan, hati, lidah tidak berhenti berzikir. Harapan cuma satu, Moga Allah lindung hingga sampai ke rumah. Almaklum, dunia sekarang tiada lagi yang selamat, hatta di rumah sendiri sekalipun. Kita usaha, dengan izin Allah, DIA bantu.

" Terpacak matahari macam ni memang boleh minta surrender tengah jalan ni". 

" Tak apa, ini boleh kira tarbiyah hati supaya lebih menjaga diri. Tak sanggup rasanya nak merasa macamana matahari boleh berada terpacak hanya sejengkal dari kepala di akhirat sana".

Sampai satu ketika kaki dah terasa lemah benar, tetapi tetap terus beri semangat pada hati, pada diri untuk teruskan sikit sahaja lagi. Dengan izin Allah, ada sebuah kereta berhenti di tepi jalan. Seorang makcik yang baik hati berkeras untuk menghantar aku pulang.

Dalam hati tidak berhenti memanjat setinggi tinggi kesyukuran.

" Ya Allah, terima kasih Ya Allah. Terima kasih hantar makcik ni bantu aku Ya Allah ".

Tidak sampai 5 minit, sampai akhirnya di rumah. Sempat juga berbual kosong dengan makcik tersebut.  Moga Allah murahkan rezeki makcik, beri kesihatan dan segala yang baik-baik buat makcik sekeluarga.

Bergenang airmata, terus sujud syukur. Nikmat Allah yang mana lagi hendak didustakan?

Peristiwa hari itu benar-benar memberi kesan.  Betapa apabila kita meletakkan sepenuh pergantungan hanya kepada Allah, DIA akan bantu. Apa yang perlu kita lakukan, adalah usaha, doa dan yakin dengan apa yang telah Allah rencanakan.

Setiap yang berlaku ada hikmah yang Allah nak sampaikan. Allah mahu kita fikir dan renung semula. 

Kadang-kadang, tak pernah terlintas sikit pun dalam hati untuk meminta itu ini pada Allah, tetapi tanpa dijangka Allah hantar/beri sesuatu yang lebih untuk kita.

Allahuakbar. Baiknya Allah pada kita. Tapi kita? Baik atau tidak kita pada Allah, persoalan itu perlu ditanya pada diri dan muhasabah kembali.

Ya Allah, bertambah rasanya cinta ini buatMU. Kasihnya Engkau pada aku. 

No comments:

Post a Comment